Laman Web Rasmi PERBADANAN KEMAJUAN PERTANIAN NEGERI PAHANG

Mengimbas Sejarah

Mengenai PKPP

mengimbas sejarah lalu ..

Bermula dengan nama Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (atau secara ringkasnya LKPP Negeri Pahang) ditubuhkan pada 15 November, 1969 dibawah Enakmen Darurat Pahang (Bil 2) Tahun 1969. Seorang pegawai telah dipinjamkan untuk menyandang jawatan Setiausaha. Jawatan Pengurus Besar telah disandang oleh Tuan Haji Abdul Razak bin Hitam (secara pinjaman) yang melaporkan diri pada 1 Disember 1969. Pada 15 Disember 1969, seorang lagi staf yang melaporkan diri iaitu Encik Wan Bakri bin Wan Ismail menjadikan kesemuanya 3 orang pegawai dan staf berkhidmat di LKPP Negeri Pahang sehingga awal 1970. Enakmen penubuhan LKPP Negeri Pahang kemudiannya telah disahkan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 01 April, 1971. Di awal penubuhannya, LKPP Negeri Pahang telah terlibat di dalam pembukaan ladang di kawasan-kawasan yang diteroka oleh Jabatan Pertanian. Dua kawasan terawal ialah di Paloh Hinai seluas 404.69 hektar dan di Kg Bongsu seluas 283.28 hektar. Kedua-duanya ditanam dengan ubi kayu plastik. Selain daripada itu, sebuah syarikat ditubuhkan iaitu Syarikat Kilang Ubi Kayu Racek Sdn Bhd dengan kerjasama orang perseorangan untuk meracik ubi kayu. Di dalam Rancangan Lima Tahun LKPP dan Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975), LKPP Negeri Pahang perlu lebih agresif dalam penanaman tanaman komoditi utama. Oleh itu, kedua-dua ladang asal di Paloh Hinai dan Kg Bongsu telah ditambah keluasannya kepada 5,000 hektar masing-masing. Nasib tidak menyebelahi LKPP Negeri Pahang pada waktu itu susulan banjir besar yang berlaku pada penghujung 1970 hinggal awal 1971 yang menyebabkan usaha pembesaran ladang berkenaan telah tergendala. Dalam masa yang sama, LKPP Negeri Pahang telah membuka lima buah ladang baru seluas 202.34 hektar (bersamaan 500 ekar) di Chemomoi, Jerangsang, Aur Gading, Charok Puting dan Kuala Kenau.

Pada 1971, LKPP Negeri Pahang dengan jumlah staf pada ketika itu berjumlah 60 orang terlibat mengendalikan program pemulihan mangsa-mangsa banjir dan pemulihan kampong. Pada tahun 1971 juga LKPP Negeri Pahang telah diamanahkan untuk mengambil alih Rancangan Tanah Pemuda dari Jabatan Pertanian. Sehingga akhir 1972, seluas 6,067.5 hektar ladang yang dibuka ialah di 6 daerah berbanding seluas 2,303.90 hektar pada akhir 1971, dengan jumlah staf telah bertambah kepada kepada 189 orang. Kecuali ladang di Sg Ular, Kuala Lipis seluas 930.78 hektar yang ditanam dengan kelapa sawit, ladang-ladang lain ditanam dengan tanaman getah. Pada tahun 1974, LKPP Negeri Pahang telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Gambut. Pada tahun ini, keluasan tanah pertanian yang dimajukan adalah berjumlah 31,027 hektar. Tahun 1978 telah merakamkan beberapa peristiwa penting di dalam perkembangan LKPP Negeri Pahang. Pada tahun ini, satu program yang dikenali sebagai Rancangan Penempatan Semula Keselamatan telah dimulakan oleh LKPP Negeri Pahang bagi mengekang anasir komunis. Selain daripada itu, dua buah syarikat dikendalikan iaitu Semambu Edible Oil Sdn Bhd (melalui pembelian) dan penubuhan Syarikat Ladang LKPP Sdn Bhd. Seterusnya pada 1981 dan 1983, dua buah syarikat lagi dibeli Syarikat Kurnia Setia Berhad dan Far East Holdings Berhad masing-masing. Pada 1984, LKPP Negeri Pahang terus mengorak langkah dengan membeli 5,213,428 unit saham di dalam Austral Enterprise Berhad. Perkembangan terus berlaku sehinggalah pada Oktober 2016, LKPP Negeri Pahang telah bertukar nama kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dengan jawatan tertinggi yang menerajuinya turut bertukar daripada Pengurus Besar kepada Ketua Pegawai Eksekutif.