Laman Web Rasmi PERBADANAN KEMAJUAN PERTANIAN NEGERI PAHANG

Rancangan Sosial

Rancangan Sosial

Rancangan Tanah Pemuda (RTP)

Rancangan Tanah Pemuda (RTP) mula dibuka di antara tahun 1967 hingga 1973 dan diambil alih oleh PKPP (pada waktu itu LKPP Negeri Pahang) pada tahun 1971. Seramai 395 orang peserta terdiri daripada belia-belia dari luar bandar dipilih untuk menyertainya. Setiap peserta dikurniakan 3.23 hektar (bersamaan 8 ekar) lot ladang kelapa sawit, sebuah rumah di atas lot seluas 0.2 hektar (bersamaan 0.5 ekar) dan 0.8 hektar (bersamaan 2 ekar) tanah dusun.

Pada keseluruhannya, luas lot ladang RTP berjumlah 1,856.0 hektar, luas lot dusun berjumlah 360 hektar dan luas lot rumah berjumlah 141.2 hektar. Manakala kos pembangunan keseluruhan berjumlah 14,004,776.33. 5 buah rancangan tanah terlibat ialah RTP Bukit Goh (Kuantan), RTP Pulau Manis (Pekan), RTP Sepayang (Rompin), RTP Kg Awah (Bera), RTP Klau (Raub), RTP Lebu (Bentong), RTP Bukit Dinding (Jerantut) dan RTP Sungai Ular (Kuala Lipis).

Rancangan Penempatan Semula Banjir (RPSB)

Rancangan ini diwujudkan bertujuan membantu menyediakan kemudahan perumahan/kawasan baru untuk mangsa-mangsa banjir yang melanda Negeri Pahang pada 1970/1971. Sebanyak 23 buah rancangan RPSB diwujudkan di seluruh Negeri Pahang untuk menempatkan seramai 2619 orang peserta di kawasan penempatan perumahan seluas suku ekar setiap seorang.

Selain daripada menawarkan perumahandan kemudahan asas, PKPP (pada waktu itu LKPP Negeri Pahang) menawarkan sebanyak 1,508 lot-lot kosong untuk dijadikan lot perumahan kepada rakyat negeri ini yang tidak berjaya memperolehinya semasa pembukaan awal RPSB. Kos pembiayaan RPSB ini adalah sebanyak RM 8,798,184.90. Bayaran balik yang dikenakan kepada peserta-peserta adalah di antara RM 2,650 hingga RM 3,500 setiap lot dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. Bagi peserta lot tapak pula, mereka dikehendaki membayar di antara RM 300 - RM 350 setiap lot.

Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK)

Rancangan ini dimulakan pada tahun 1978 bertujuan untuk membangunkan kawasan-kawasan keselamatan untuk membanteras dan menyekat pengaruh komunis daripada merebak di kawasan berkenaan.

Sebanyak 4 buah rancangan telah dibangunkan (RPSB Peruang, RPSB Merapoh, RPSB Sungai Chalit dan RPSB Jerkoh) dengan menempatkan seramai 475 orang peserta terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India meliputi kawasan seluas 2,449 hektar (dengan tanaman getah, koko dan kelapa sawit). Kemudahan asas yang disediakan di rancangan ini seperti perumahan, jalanraya dan lain-lain kemudahan infrastruktur.

Rancangan Tanah Pinggir

Rancangan ini telah dimulakan dalam tahun 1961 hingga 1967 dan telah diambil alih oleh LKPP Negeri Pahang daripada Pejabat Tanah dan Galian Pahang (PTG) mulai tahun 1973. Sehingga kini, sejumlah 129 buah rancangan yang meliputi 9 buah daerah (kecuali Cameron Highlands) di seluruh Negeri Pahang yang telah dimajukan. Seramai 6,294 orang peserta terlibat dalam rancangan ini yang melibatkan luas keseluruhan berjumlah 17,380.20 hektar yang ditanam dengan getah.

Daripada 129 buah rancangan tersebut, 22 buah telah dimajukan oleh RISDA manakala 6 buah lagi dimajukan oleh FELCRA. Pembangunan rancangan ini adalah berasaskan konsep pembukaan tanah secara berkelompok di bawah Akta Penempatan Beramai-Ramai 1960 (GSA). Setiap peserta dikurniakan 2.83 hektar (bersamaan 6 ekar) lot tanah dan dikenakan bayaran balik di antara RM 3,000 hingga RM 3,500 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. Bayaran balik hutang yang ditetapkan bagi keseluruhan rancangan berjumlah RM 19,821.18

Projek Ladang Kecil

Mula diwujudkan pada tahun 1971, dengan tujuan untuk membangunkan kawasan-kawasan baru di pinggir kampung-kampung di luar bandar untuk diberikan kepada rakyat Negeri Pahang. Seramai 323 orang peserta terlibat dengan rancangan ini yang meliputi kawasan seluas 1,204.1 hektar yang ditanam dengan kelapa sawit dan getah. .

Konsep ladang kecil ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu lot ladang seluas 3.2 hektar (bersamaan 8 ekar) atau pemberian sistem saham yang senilai dengan keluasan tersebut atau menjadi sumber ekonomi kepada LKPP Negeri Pahang